8 Disember 2012 - 03:34

Ayatullah Muhammad Ali Movahhedi Kermani berkata, “Menurut ayat al-Qur’an, strategi musuh adalah lemah dan dunia turut melihat bahawa strategi syaitan adalah lemah.”




Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Ayatullah Muhammad Ali Movahhedi Kermani di awal khutbahnya berkata, "Pemimpin masyarakat hendaklah pakar dalam tugasnya sendiri, sekiranya seseorang individu itu ingin menerima tanggungjawab dalam masyarakat Islam, beliau hendaklah melihat kadar kemampuannya terlebih dahulu. Setelah itu barulah menerimanya."

Jelas beliau lagi, "Terdapat empat punca kemunduran sekiranya ianya timbul di tengah-tengah masyarakat, pertama melupakan prinsip, kedua mengenepikan prinsip, ketiga membiarkan orang yang tidak layak menjalankan tugas, keempat menyingkirkan orang yang layak."

Dalam khutbah pertama ini, Ayatullah Kermani mengingatkan jemaah supaya mematuhi larangan Allah di dalam al-Quran. Sambil menukilkan dalil dari ayat al-Qur'an, beliau berkata, "Apabila syaitan menggoda anak adam, dengan berkat taqwa ia mampu menghindari syaitan."

Beliau turut menceritakan betapa pentingnya menunaikan solat Jumaat. "Jemaah mendirikan solat Jumaat dengan harapan meraih fadilatnya daripada Allah, ini adalah taufik yang besar di mana Allah menganugerahkan solat Jumaat kepada jemaah," jelas beliau.

Ayatullah menceritakan sejarah awal solat Jumaat dalam masyarakat Islam dan berkata, "Jikalau solat Jumaat ditunaikan tepat pada waktunya, ia bakal mencegah banyak kerosakan dalam masyarakat dan mengurangkan latar maksiat."

Sambil menasihatkan jemaah agar bertakwa kepada Allah, beliau menjelaskan sebahagian perintah Allah dalam ayat-ayat al-Qur’an, menggunakan kalimah “Bertakwalah kepada Allah” yang menyatakan bahawa ketakwaan dapat membantu seseorang hamba di dalam hidup mereka di samping menghasilkan kejayaan dengan berzikir (mengingati Allah) sedangkan mengingati Allah menjauhkan manusia dari dosa.

Tambah beliau lagi, “Di medan kehidupan, seseorang hamba hendaklah diiringi dengan dua modal iaitu sabar dan takwa. Kedua-dua ini membantu menghindarkannya dari dosa.

“Hendaklah kita berfikir, apa yang telah kita lakukan untuk akhirat dan dunia, kita perlu menghitung nafas sehingga kita melihat berapa banyak kewajipan yang telah kita tunaikan.

Mengenai hak ayah dan ibu terhadap seseorang anak, Ayatullah Kermani menjelaskan, “Sekiranya anak-anak menunaikan hak-hak ayah dan ibunya sedangkan mereka ini melakukan dosa, maka Allah akan mengampuni mereka. Jikalau tidak, azab Allah menjadi lebih keras.”

Imam solat Jumaat Tehran ini turut mengingatkan betapa pentingnya perlaksanaan Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar di dalam masyarakat Islam. “Sekiranya Amar Ma’ruf dan Nahi Munkar dilaksanakan dalam masyarakat dalam bentuk yang sebenar, akar umbi dosa dalam masyarakat akan tercabut di samping menyelamatkan komuniti dari kegelapan, kejahilan, kemurkaan dan syahwat.”

Kejayaan Askar Revolusi memburu dan menawan pesawat pengintip Amerika.

Ayatullah Muhammad Ali Movahhedi Kermani dalam khutbah keduanya memuji kejayaan Askar Revolusi memburu pesawat pengintip Amerika. Sambil memohon doa untuk kekuatan ketenteraan, beliau berkata, “Kemajuan ini menunjukkan teknologi Iran lebih hebat daripada mereka sehingga dapat menawan pesawat ini.”

Beliau menambah, “Menurut ayat al-Qur’an, strategi musuh adalah lemah dan dunia turut melihat bahawa strategi syaitan adalah lemah.”

Beliau menegaskan pencapaian kerajaan Iran pada hari ini adalah hasil keislaman dan keimanan. “Seandainya anak adam melangkah masuk ke dalam iman, beliau akan mencapai kemajuan yang sangat memberangsangkan. Namun terdapat godaan materialistik yang boleh melemahkannya,” tutur beliau.

Beliau menyatakan harapan agar Republik Islam Iran dapat menyungkurkan ke tanah semua alat ketenteraan musuh yang canggih.

Selain itu, beliau juga mengingatkan supaya keamanan dalam negara tetap dipelihara dan menambah, “Pihak pemerintah yang taat kepada wilayat perlu menghindarkan diri dari dari mengikuti setiap konflik.”

Tegas beliau lagi, menjaga ketenteraman adalah kehendak seluruh rakyat, dan tanggungjawab besar. 

“Selesaikanlah masalah di antara kamu dan janganlah membuatkan musuh gembira.


“Setiap orang beriman dan berjuang tidak akan menjual revolusi kepada maslaah ini, meskipun begitu pihak pemerintah hendaklah menyelesaikan masalah ini,” ujar Ayatullah Kermani.


Mengenai isu Syria pula, beliau menganggap semua ini terjadi kerana campur tangan pihak asing dan berkata, “Orang yang menyalakan fitnah sedang memusnahkan Islam, seharusnya mereka biarkan rakyat Syria menentukan nasib mereka.”

Beliau menerangkan bahawa Syria memerlukan pembaharuan sambil menjelaskan, “Kesalahan Syria hanyalah menyokong perjuangan (Palestin).”